PORTAL RASMI

KERETAPI TANAH MELAYU BERHAD

"MERAKYATKAN KERETAPI"
  • |
akta/perundangan

Syarat - Syarat Pengangkutan Penumpang

Tarikh disiarkan : 06-02-2017    Disiarkan oleh : Subsidiaries Unit Administrator

BAB 1 : DEFINASI
  1. Definasi
  1. “Keretapi” bermaksud Keretapi Tanah Melayu Berhad.
  2. “Kakitangan Keretapi” bermaksud sesiapa sahaja yang dilantik untuk bekerja oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad.
  3. "UPS Antarabandar" Unit Perniagaan Strategik yang diujudkan untuk merancang, melaksana, mengeluarkan arahan dan kebenaran untuk perkhidmatan tren Antarabandar dan ETS.
  4. “Tambang Penuh” bermaksud tambang sehala dan/atau pergi balik tanpa apa-apa pemotongan atau diskaun kecuali bagi kanak-kanak.
  5. “Tambang Sehala Keretapi” bermaksud tambang sehala kelas pertama, kedua dan ketiga tanpa apa-apa pemotongan atau diskaun, kecuali bagi kanak-kanak.
  6. “Tambang Pergi-Balik Penuh” bermaksud tambang pergi balik penuh tanpa apa-apa pemotongan atau diskaun kecuali bagi kanak-kanak.
  7. “Tambang Yang Dikurangkan” bermaksud selain Tambang Sehala Penuh atau Tambang Pergi Balik Penuh (Contohnya “Pergi Balik Sehari Murah” dan lain-lain)
  8. “Tambang Konsesi” bermaksud tambang kelas pertama, kedua atau ketiga, iaitu diskaun dibenarkan bagi seseorang pemegang apa sahaja bentuk kuasa.
  9. “Tiket Bermusim” merangkumi tiket-tiket bermusim, kad pengembara dan Tiket-tiket Pelbagai Perjalanan yang mempunyai kesahan lebih daripada satu hari.
  10. "Pejabat Tiket" bermaksud Kaunter dan/atau kios jualan tiket yang disediakan oleh Keretapi dan/atau Unit Perniagaan Strategik Antarabandar untuk kemudahan penumpang mendapatkan tiket perjalanan yang sah.
  11. "Agen Tiket" bermaksud syarikat swasta yang berdaftar dengan Keretapi dan/atau Unit Perniagaan Strategik Antarabandar sebagai pilihan tambahan kepada penumpang untuk mendapatkan tiker perjalanan yang sah.
  12. “Bagasi” bermaksud barang-barang yang dibawa oleh para penumpang.
  13. “Koc” bermaksud gerabak kereta api.
  14. “Perkhidmatan Keretapi” bermaksud semua perkhidmatan tren yang disediakan oleh Unit Perniagaan Strategik Antarabandar termasuk tren-tren ETS.
  15. “Kebenaran Khas” bermaksud sebarang maklumat atau arahan yang dikeluarkan oleh Keretapi dan Unit Perniagaan Strategik Antarabandar.
  16. “Jadual Perkhidmatan Keretapi” bermaksud Jadual perjalanan tren.
  17. “Suruhanjaya” bermaksud Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.
  18. “Akta” bermaksud Akta Pengagkutan Awam Darat 2010
BAB 2 : SYARAT PEMULANGAN TAMBANG
  1. Tambang
  1. Pemulangan tambang 100% jika :
    1. Perkhidmatan tren dibatalkan, atau
    2. Tren berlepas lewat melebihi 2 jam dari masa berlepas yang dijadualkan dan pembatalan tiket dibuat sebelum  tren berlepas.
  2. Pemulangan tambang 75% jika pembatalan tiket dibuat lebih daripada 72 jam sebelum tren dijadualkan berlepas.
  3. Pemulangan tambang 50% jika pembatalan tiket dibuat kurang daripada 72 jam sebelum tren dijadualkan berlepas.
  4. Tiada pemulangan tambang untuk pembatalan tiket yang dibuat setelah tren berlepas.
  1. Pindaan tarikh dan/atau masa perjalanan dan/atau penukaran kelas
  1. Pindaan tarikh dan/atau masa perjalanan dan/atau penukaran kelas dibenarkan sekali sahaja dan tertakluk kepada syarat-syarat berikut :-
    1. Pindaan dibuat lebih dari 24 jam sebelum tren dijadualkan berlepas, dan
    2. Jika penukaran ke kelas yang lebih tinggi, perbezaan tambang mesti dibayar, atau
    3. Jika penukaran ke kelas yang lebih rendah, tiada pemulangan perbezaan tambang.
  2. Jika pindaan tarikh dan/atau masa perjalanan telah dibuat, maka penukaran kelas tidak dibenarkan dan juga sebaliknya.
  3. Pembatalan tiket yang telah dipinda tarikh dan/atau masa dan/atau kelas hanya layak mendapat pemulangan tambang tiket 50% dan mesti dibuat sebelum tren dijadualkan berlepas.
  4. Pindaan tarikh Tren Antarabangsa dibenarkan dua kali dan caj perkhidmatan RM6.00 dikenakan ke atas penumpang bagi setiap tiket
BAB 3 : SYARAT TIKET
  1. Keperluan bagi memegang tiket sah
  1. Para penumpang mestilah memegang tiket yang sah atau mendapat kebenaran untuk menaiki kereta api atau Perkhidmatan Kereta api yang disediakan.
  1. Tiket-tiket yang dikeluarkan oleh atau bagi pihak Kereta api
  1. Tiket-tiket yang dikeluarkan oleh atau bagi pihak Kereta api adalah tertakluk kepada:
    1. Syarat-syarat yang terkandung di dalam dokumen ini, dan
    2. Terma-terma undang-undang kecil dan syarat-syarat di dalam bahan terbitan, risalah dan pemberitahuan semasa yang boleh didapatkan daripada stesen-stesen Kereta api.
  1. Pemeriksaan tiket dan perubahan
  1. Para penumpang hendaklah memeriksa tiket-tiket dan perubahan, dan memaklumkan apa juga kesilapan yang ketara kepada kakitangan Keretapi sebelum meninggalkan pejabat tiket. Segala tuntutan atas pihak Keretaapi atau pekerjanya selepas itu hanya akan dipertimbangkan apabila tuntutan yang demikian disokong dengan bukti-bukti wajar seperti yang diperlukan oleh pihak Keretapi.
  1. Menyertai kereta api tanpa tiket
  1. Sekiranya seseorang penumpang menaiki Perkhidmatan Keretapi yang telah penuh tanpa tiket yang sah bagi sesuatu perjalanan itu, penumpang tersebut akan:
    1. Dikeluarkan dari Perkhidmatan Keretapi itu; dan/atau
    2. Dikenakan Kompaun sebanyak RM1,000.00; dan/atau
    3. Kedua-duanya.
  2. Sekiranya seseorang penumpang menaiki Perkhidmatan Keretapi yang tidak penuh tanpa tiket yang sah bagi sesuatu perjalanan itu, kecuali seperti yang dinyatakan di dalam perenggan (c) di bawah, penumpang tersebut akan dikehendaki membayar Tambang Sehala Penuh bagi perjalanan itu mengikut kelas penempatannya semasa dalam perjalanannya itu dan sebagai tambahan kepada itu, bayaran tambahan akan dikenakan seperti yang akan ditetapkan oleh pihak Keretapi seperti yang dinyatakan di dalam perenggan (a) diatas. Penumpang yang berkenaan tidak akan menikmati faedah-faedah:
    1. Tempat duduk dan/atau
    2. Mana-mana tambang yang dikurangkan dan/atau 
    3. Mana-mana tambang konsesi dan/atau
    4. Mana-mana kemudahan khas, tawaran atau tiket yang sepatutnya boleh dinikmati sekiranya penumpang itu mendapatkan tiket sebelum menyertai perkhidmatan Kereta api.
  3. Melainkan sesuatu tiket yang dipegang itu memerlukan pengesahan atau pembatalan manual oleh penumpang sejajar dengan terma-terma dan syarat-syarat yang menentukan penggunaannya, perenggan (b) di atas tidak akan berkuatkuasa apabila penumpang menyertai Perkhidmatan Keretapi tanpa tiket yang sah di Stesen.
    1. Apabila Pejabat Tiket tutup dan kebenaran dikeluarkan oleh Keretapi untuk menaiki Perkhidmatan Keretapi; atau
    2. Apabila tidak terdapat mesin bagi pengeluaran atau pengesahan tiket dan dalam keadaan yang tidak boleh digunakan dan penumpang dibawa bersama 
  4. Kebenaran Khas yang dikeluarkan oleh Keretapi untuk menaiki Perkhidmatan Keretapi, penumpang tersebut akan dikehendaki membayar Tambang Sehala Penuh bagi perjalanan itu mengikut kelas penempatannya semasa dalam perjalanannya itu.
  5. Sebagai tambahan kepada syarat ini, syarat 21 turut diambilkira.
  1. Tiket kanak-kanak
  1. Kanak-kanak di bawah umur empat (4) tahun boleh menaiki Perkhidmatan Keretapi tanpa dikenakan bayaran dan asalkan kanak-kanak tersebut tidak menduduki di tempat-tempat duduk yang sudah dipenuhi (occupied) yang berkenaan. Kanak-kanak yang melebihi jumlah yang ditetapkan di atas atau kanak-kanak berumur empat (4) tahun atau lebih dan yang dibawah umur dua belas (12) tahun hendaklah memiliki tiket perjalanan untuk tiket kanak-kanak.
  1. Tempoh sahlaku tiket
  1. Tambang Sehala Penuh dan Tambang Pergi Balik Penuh adalah sah seperti tarikh yang ditunjukkan di atas tiket-tiket sahaja.
  2. Butiran terperinci tentang tempoh sahlaku yang ditetapkan bagi perjalanan-perjalanan yang berkenaan boleh didapatkan dari Pejabat Tiket Keretapi atau Agen Tiket perjalanan Keretapi yang dilantik.
  3. Tempoh sahlaku tiket-tiket bentuk lain adalah seperti yang dicetak atas tiket-tiket itu atau seperti yang dicatatkan pada bahan terbitan, risalah dan pemberitahuan semasa Keretapi yang berkaitan dengan tiket-tiket tersebut.
  4. Tiket yang digunakan selepas tarikh luputnya adalah tidak sah untuk perjalanan. Mana-mana penumpang yang menggunakan tiket yang berkenaan akan dikehendaki membayar Tambang Sehala Penuh atau Tambang Pergi Balik Penuh seolah-olah tiada pembayaran dibuat sebagai tambahan kepada bayaran tambahan seperti yang ditetapkan oleh pihak Keretapi tertakluk dengan Syarat Bab 3 diatas.
  5. Kesahan Tiket Sehala atau Pergi Balik boleh dilanjutkan bagi membolehkan perjalanan yang dimulakan ditamatkan sebelum tarikh luputnya, akan tetapi tidak pada ketika berlakunya perjalanan.
  1. Menggunakan tiket untuk stesen lain
  1. Seseorang penumpang yang menggunakan tiket bagi mana-mana stesen selain yang sah baginya adalah dikehendaki membayar Tambang Sehala Penuh atau Tambang Pergi Balik Penuh bagi sebahagian perjalanan itu yang tidak terangkum dalam sahlaku sesuatu tiket itu, tertakluk dengan Bab 3.
  2. Seseorang penumpang yang menggunakan tiket bagi mana-mana stesen sebelum yang sah baginya dan berkaitan dengan tambang lebih tinggi yang boleh dikenakan semasa perjalanan itu adalah dikehendaki untuk membayar baki selebihnya antara tambang yang dibayar dengan Tambang Sehala Penuh atau Tambang Pergi Balik Penuh bagi perjalanan yang sepatutnya digunakan, tertakluk dengan Bab 3.
  1. Tiket-tiket tidak boleh dipindah milik
  1. Sesuatu tiket tidak boleh digunakan oleh sesiapa sahaja selain atas nama orang tiket itu dikeluarkan.
  1. Penarikan balik tiket
  1. Dalam kes kegagalan material untuk mematuhi mana-mana syarat yang berkait dengan penggunaan tiket itu, dan boleh ditarik balik oleh Kakitangan Keretapi atau Agen Tiket perjalanan kereta api.
  1. Penumpang yang menaiki kereta api yang salah
  1. Penumpang hendaklah memastikan mereka memasuki Perkhidmatan Keretapi yang betul atau sebahagian Kereta api atau berada di Stesen yang betul. Pihak Keretapi tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerugian atau kelewatan yang disebabkan oleh penumpang yang memasuki Perkhidmatan Keretapi atau sebahagiannya yang salah kecuali kerugian atau kelewatan yang berkenaan disebabkan oleh kelalaian kakitangan atau Agen-agen perjalanan Kereta api.
  1. Pemeriksaan tiket
  1. Tiket-tiket (dan pihak yang menemani apabila mereka diperlukan) adalah harta benda Keretapi dan hendaklah ditunjukkan atau diserahkan kepada Kakitangan Keretapi apabila dikehendaki. Para penumpang yang tidak dapat menunjukkan tiket yang sah bagi perjalanan yang telah dibuat (bersertakan kuasa yang sah apabila ini diperlukan) akan dikenakan Tambang Sehala Penuh atau Tambang Pergi Balik Penuh bagi perjalanan itu tertakluk dengan Bab 3 Syarat 7.
  1. Tiket yang cacat atau rosak
  1. Mana-mana tiket yang tidak sah, cacat, rosak, koyak, cerai atau telah ditambah atau dipinda dalam apa juga bentuk adalah tidak sah untuk perjalanan
    1. Pihak Keretapi boleh menolak untuk permintaan mengeluarkan tiket gantian dan/atau
    2. Menghalang untuk menaiki Perkhidmatan Keretapi
  1. Kehilangan atau tersalah letak tiket
  1. Pihak Keretapi tidak akan mengeluarkan salinan-salinan sebagai gantian kepada tiket-tiket yang hilang atau tersalah letak (atau sebahagian daripada tiket-tiket), dan tidak juga membuat bayaran balik akan nilai tiket-tiket yang berkenaan atau tambang yang dikenakan sebagai akibat daripada kegagalan menunjukkan sesuatu tiket apabila dikehendaki. Walau bagaimanapun tiket-tiket yang hilang atau tersalah letak boleh diberi pemulangan tambang penuh sekiranya penumpang telah menjumpai semula dan mengemukakan tiket perjalanan yang baru dibeli sebelum Perkhidmatan Kereta api yang dinaiki berlepas.
  1. Bayaran balik tiket yang tidak digunakan
  1. Melainkan seperti yang dinyatakan dalam bab 3 Syarat 15, Keretapi akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap permohonan-permohonan bayaran balik akan tiket-tiket yang tidak digunakan yang dikembalikan dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh perjalanan bersertakan bukti yang berkemungkinan diperlukan oleh Keretapi.
  2. Asas bagi mana-mana bayaran balik adalah baki perbezaan sekiranya ada di antaranya:
    1. Tambang yang dibayar bagi tiket itu; dan
    2. Tambang tiket (tiket-tiket) yang sebenarnya dibuat bagi perjalanan (perjalanan-perjalanan) itu: ditolak caj pentadbiran yang berkuatkuasa pada waktu itu.
  3. Sekiranya tiket itu dibayar secara kredit iaitu melalui Tiket Waran, Tiket Baucer, “Railway Ticket Order”’ atau Kad Pas Parlimen, Nota Kredit akan dikeluarkan oleh Pengurus Besar Kewangan dan amaun yang berkenaan akan dikreditkan. Kalau tidak, bayaran balik itu akan dibuat secara tunai atau cek tertakluk kepada arahan yang berkuatkuasa pada waktu itu..
  1. Peruntukkan penempatan
  1. Pihak Keretapi tidak akan bertanggungjawab terhadap kegagalan membawa seseorang penumpang dengan mana-mana Perkhidmatan Keretapi yang berkenaan atau ditempatkan di dalam kelas atas tiket itu dikeluarkan apabila berlakunya ketidakcukupan tempat duduk di dalam Perkhidmatan Keretapi atau di dalam kelas yang berkenaan.
  2. Apabila berlakunya ketidakcukupan tempat duduk di dalam Perkhidmatan Keretapi atau pengangkutan bagi kelas tiket itu dikeluarkan, para penumpang yang memegang tiket sehala atau pergi balik boleh memilih:-
    1. Tidak membuat perjalanan dan mengemukakan tiket untuk bayaran balik; atau
    2. Apabila pemegang tiket kelas kedua atau ketiga, membuat perjalanan dengan kelas pertama atau kedua dan dalam kes ini perbezaan tambang perlulah dibayar.
    3. Apabila pemegang tiket-tiket kelas pertama, membuat perjalanan dalam kelas kedua dan menuntut bayaran balik dalam bentuk tambang dengan mendapatkan pengesahan tentang keadaan-keadaan itu secara bertulis daripada kakitangan di dalam Kereta api; ini hendaklah dilampirkan bersama-sama tuntutan.
  3. Sekiranya penempatan dalam kelas kedua dan ketiga tidak mencukupi, seseorang penumpang yang memegang tiket sehala atau pergi balik kelas kedua atau ketiga tidak akan layak untuk membuat perjalanan dengan kelas yang lebih tinggi, kecuali sama ada;-
    1. Baki perbezaan sebenarnya dalam bentuk tambang dibayar; atau
    2. Kebenaran berbuat demikian diberikan oleh kakitangan Kereta api.
  1. Membuat perjalanan dalam kelas tinggi dengan tiket-tiket kelas rendah, atau apabila caj tambahan perlu dibayar
  1. Seseorang penumpang yang membuat perjalanan atau sebahagian daripada perjalanan, sama ada;
    1. Dalam kelas pertama atau kelas kedua sedangkan memegang tiket kelas lebih rendah akan dikehendaki membayar baki perbezaan dalam bentuk tambang bagi perjalanan yang telah dibuat itu; atau
    2. Di dalam penempatan yang caj tambahan perlu dibayar, bagaimanapun belum dibayar, akan dikehendaki membayar caj tambahan yang dikuatkuasakan pada masa itu.
  2. Syarat ini juga tetap merangkumi penumpang-penumpang yang mendapat tempat duduk atau berdiri, termasuk mereka yang berada di koridor, laluan atau vestibul di dalam kelas pertama atau di dalam penempatan yang menghendaki bayaran tambahan perlu dibayar.
  1. Tanggungjawab berkaitan dengan kecederaan penumpang
  1. Pihak Keretapi tidak akan bertanggungjawab terhadap kecederaan peribadi mana-mana penumpang, kecuali kecederaan peribadi tersebut disebabkan salah laku atau ketiadaan pengawasan biasa, kecuaian pada pihak Keretapi atau pekerjanya.
  2. Pihak Keretapi sebenarnya tidak boleh, dalam apa juga keadaan, dipertanggungjawabkan terhadap kecederaan peribadi mana-mana penumpang yang: -
    1. Berjalan-jalan (sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran) di mana-mana bahagian Keretapi, selain bahagian yang diperuntukkan untuk kegunaan penumpang-penumpang; atau
    2. Menaiki Perkhidmatan Keretapi dengan menggunakan Pas Percuma atau Tiket Istimewa; atau
    3. Melintasi bahagian Kereta api ketika dalam pembinaan, sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran.
  3. Bagi keperluan syarat ini istilah penumpang merangkumi sesiapa sahaja, yang dalam perjalanan sah dengan mana-mana Perkhidmatan Keretapi selain kakitangan Keretapi yang dalam bertugas.
BAB 4 : SYARAT TAMBANG DAN TAMBANG MUATAN
  1. Tambang
  1. Tertakluk kepada subseksyen (2) dan (3), hanya Keretapi, Kakitangan Keretapi dan Agen-agennya dibenarkan menuntut, mengutip dan memegang simpan apa-apa tambang berhubung dengan Perkhidmatan Keretapi yang melebihi apa-apa kadar tambang yang diluluskan oleh Menteri di bawah seksyen 84, 86, 101 atau 120 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
  2. Menteri boleh, atas syor Suruhanjaya, mengecualikan mana-mana orang daripada pembayaran apa-apa tambang berhubung dengan Perkhidmatan Keretapi, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang difikirkannya patut.
  3. Tiada apa jua dalam Syarat ini boleh menghalang Keretapi daripada mengecualikan mana-mana orang, selain orang yang dikecualikan oleh Menteri di bawah subseksyen (2) Akta pengangkutan Awam Darat 2010,daripada membayar apa-apa tambang bagi apa-apa tempoh.
  4. Seseorang yang menuntut, mengutip atau memegang simpan atau cuba untuk menuntut, mengutip atau  memegang simpan apa-apa tambang selain dengan Keretapi, Kakitangan Keretapi dan Agen-agennya dengan melanggar syarat 21, perenggan (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan:-
    1. Didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau
    2. Dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau
    3. Kedua-duanya.
  5. Tiada seorang pun boleh membuat perjalanan dengan Perkhidmatan Keretapi tanpa terlebih dahulu membayar tambangnya dan mendapatkan tiket.
  6. Tiap-tiap orang yang bercadang untuk membuat perjalanan dengan Perkhidmatan Keretapi hendaklah, selepas membayar tambangnya, diberi suatu tiket yang menyatakan kelas koc kereta api atau penginapan yang baginya, stesen atau tempat yang darinya, dan stesen atau tempat yang kepadanya, tambang itu dibayar.
  7. Tiap-tiap orang yang membuat perjalanan dengan Perkhidmatan Keretapi hendaklah, apabila dikehendaki untuk berbuat demikian, menunjukkan bukti pembayaran tambang kepada Kakitangan Keretapi atau Pegawai Keretapi yang diberi kuasa dengan sewajarnya untuk memeriksa pembayaran tambang.
  8. Bagi maksud syarat ini, “bukti pembayaran tambang” hendaklah tiket yang dikeluarkan bagi maksud pembayaran tambang atau apa-apa keterangan memuaskan yang lain mengenai pembayaran tambang.
  9. Keretapi, Kakitangan Keretapi atau Pegawai Keretapi yang diberi kuasa dengan sewajarnya untuk memeriksa pembayaran tambang berpuas hati bahawa mana-mana orang telah menggunakan Perkhidmatan Keretapi tanpa membayar tambang yang sepatutnya bagi jarak yang dilaluinya atau jika mana-mana orang tidak mengemukakan atau menghantarserahkan bukti pembayaran tambang berlanggaran dengan syarat 21, perenggan (7), dia boleh menghendaki orang itu supaya membayar:-
    1. Tambang bagi jarak yang dilaluinya; dan
    2. Suatu kompaun mengikut kadar Bab 3 Syarat 7 (a) (ii).
  10. Tambang dan Kompaun itu hendaklah dibayar apabila dituntut kepada Kakitangan Keretapi atau Pegawai Keretapi yang diberi kuasa dengan sewajarnya untuk memeriksa pembayaran tambang atau mengutip tiket, dan jika tidak dibayar sedemikian, pembayaran itu boleh didapatkan kembali oleh Keretapi, Kakitangan Keretapi atau Pegawai Keretapi itu melalui tindakan undang-undang.
  11. Jika apa-apa pertikaian berbangkit mengenai tambang yang dikira mengikut jarak, pertikaian itu boleh dirujuk—
    1. Pada mula-mulanya, kepada Pegawai Keretapi yang diberi kuasa dengan sewajarnya untuk memutuskan pertikaian itu;
    2. Atas rayuan terhadap keputusan Pegawai Keretapi itu, kepada seorang Pegawai Suruhanjaya yang diberi kuasa dengan sewajarnya untuk memutuskan pertikaian itu, yang keputusannya adalah muktamad, dan apa-apa perakuan yang dikeluarkan oleh Pegawai Keretapi yang diberi kuasa dengan sewajarnya atau Pegawai Suruhanjaya yang diberi kuasa dengan sewajarnya itu, boleh diterima sebagai keterangan.
  1. Tambang muatan
  1. Tertakluk kepada seksyen 22, perenggan (2) dan (3), hanya Keretapi atau Kakitangan Keretapi boleh menuntut, mengutip dan memegang simpan apa-apa tambang muatan berhubung dengan Perkhidmatan Keretapi yang melebihi apa-apa kadar tambang muatan yang diluluskan oleh Menteri di bawah seksyen 84, 86, 101 atau 120 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
  2. Menteri boleh, atas syor Suruhanjaya, mengecualikan mana-mana orang daripada pembayaran apa-apa tambang muatan berhubung dengan perkhidmatan kereta api, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang difikirkannya patut.
  3. Tiada apa jua dalam seksyen ini boleh menghalang Keretapi, Pegawai Keretapi atau Kakitangan Keretapi daripada mengecualikan mana-mana orang, selain orang yang dikecualikan oleh Menteri di bawah seksyen 22, perenggan (2), daripada membayar apa-apa tambang muatan bagi apa-apa tempoh.
  4. Seseorang yang menuntut, mengutip atau memegang simpan atau cuba untuk menuntut, mengutip atau  memegang simpan tambang muatan dengan melanggar seksyen 22, perenggan (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan:-
    1. Didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau
    2. Dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau
    3. Kedua-duanya.
  1. Jadual waktu dan senarai tambang dipamerkan di stesen kereta api
  1. Keretapi, Pegawai Keretapi atau Kakitangan Keretapi menyimpan di tiap-tiap stesen kereta api suatu salinan jadual waktu yang berkuat kuasa pada masa itu dan suatu senarai tambang am yang boleh dikenakan untuk membuat perjalanan dari stesen kereta api itu, yang senarai itu ditampalkan di tiap-tiap tempat di mana tiket lazimnya dikeluarkan kepada penumpang di stesen kereta api itu, dan Keretapi, Pegawai Keretapi atau Kakitangan Keretapi membenarkan semua orang untuk memeriksa jadual waktu atau senarai tambang am itu dengan percuma pada setiap waktu yang munasabah.
  2. Pihak Keretapi tidak akan memberikan jaminan bahawa Perkhidmatan Keret api akan memulakan perjalanan atau sampai pada masa yang dinyatakan di dalam Jadual, dan tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerugian (termasuk kerugian atau kos-kos akibat langsung yang mungkin terjadi), kerosakan, kelewatan atau penahanan yang disebabkan:-
  3. Berhenti menjualkan tiket sebelum masa bertolak mana-mana Perkhidmatan Keretapi; dan
    1. Membenarkan Perkhidmatan Keretapi meninggalkan stesen sebelum ketibaan kereta api - kereta api lain seperti yang ditunjukkan dalam jadual waktu sebagai Kereta api sambung dan
    2. Menarik balik semua Perkhidmatan Keretapi penumpang dan semua stesen pada mana-mana hari atau menggantungkan atau memutuskan perjalanan Kereta api-kereta api atau meminda masa bertolak atau ketibaan Kereta api -kereta api.
  4. Pihak Keretapi tidak akan bertanggungjawab didalam setiap penyambungan Perkhidmatan Keretapi yang tidak berjaya disebabkan oleh Syarat (b) diatas.
  5. Tiada Pertimbangan yang wajar akan diberikan kepada permohonan-permohonan bayaran balik iaitu apabila tiket tidak digunakan sebagai akibat daripada syarat (b) atau (c) diatas.
  1. Pengemukaan sebarang perubahan dalam struktur tambang yang sedia ada dan sebagainya.
  1. Keretapi, Pegawai Keretapi atau Kakitangan Keretapi akan :—
    1. Menyiarkan struktur tambang, tambang muatan atau caj yang baru itu dalam sekurang-kurangnya dua akhbar nasional, yang satu daripadanya hendaklah dalam bahasa kebangsaan; dan
    2. Memastikan bahawa struktur tambang, tambang muatan atau caj yang baru itu ditampalkan untuk perhatian orang awam mengikut seksyen 21 Akta Pengangkutan Aawam Darat 2010.
  2. Suruhanjaya hendaklah, dengan secepat yang dapat dilaksanakan, membuat pemberitahuan yang perlu dalam Warta berkenaan dengan perubahan dalam struktur tambang, tambang muatan atau caj yang sedia ada.
 BAB 5 : SYARAT KESALAHAN KHUSUS BERHUBUNG DENGAN KERETA API
  1. Mabuk didalam kereta api
  1. Mana-mana penumpang di larang :—
    1. Mabuk sebelum menaiki kereta api; atau
    2. Membawa minuman keras, bahan yang memabukkan ke dalam kereta api,
  2. Jika melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan,
    1. Didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau
    2. Dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau
    3. Kedua-duanya.
  1. Memasuki atau meninggalkan koc kereta api secara luar aturan
  1. Mana-mana orang yang :—
    1. Pada bila-bila masa memasuki atau meninggalkan atau cuba untuk memasuki atau meninggalkan mana-mana koc kereta api selain dengan menggunakan pintu yang disediakan bagi maksud itu di sisi koc kereta api itu yang bersebelahan dengan platform atau tempat seumpama yang lain yang ditentukan oleh Keretapi, Pegawai Keretapi atau Kakitangan Keretapi sebagai tempat untuk orang memasuki atau meninggalkan suatu koc kereta api; atau
    2. Membuka mana-mana pintu luar mana-mana koc kereta api sedemikian semasa ia sedang bergerak, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit.
  1. Menahan masuk, dan memasuki dan enggan meninggalkan tren yang penuh
  1. Mana-mana penumpang yang :—
    1. Menahan kemasukan sah penumpang lain ke dalam suatu koc kereta api atau sebahagian koc kereta api yang tidak dikhaskan oleh Keretapi, Pegawai Keretapi atau Kakitangan Keretapi bagi kegunaan penumpang yang menahan itu;
    2. Selepas tidak dibenarkan masuk ke dalam suatu tren kereta api oleh seorang Pegawai Keretapi atau Kakitangan Keretapi, oleh sebab Perkhidmatan Keretapi itu penuh, namun berkeras untuk memasuki atau cuba untuk memasuki tren kereta api itu; atau
    3. Setelah menaiki suatu tren kereta api di mana-mana tempat dan setelah diminta oleh seorang Pegawai Keretapi atau Kakitangan Keretapi, oleh sebab kereta api itu penuh, supaya meninggalkan kereta api itu sebelum kereta api itu meninggalkan tempat itu, tidak mematuhi permintaan itu, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit dan, sebagai tambahan, boleh dikeluarkan dari tren kereta api itu oleh mana-mana Pegawai Keretapi.
  1. Menceroboh kereta api atau premis kereta api
  1. Mana-mana orang yang menceroboh suatu kereta api atau mana-mana premis Kereta api melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ratus ringgit dan, jika mana-mana orang sedemikian enggan untuk meninggalkan Perkhidmatan Keretapi atau premis Keretapi itu apabila diminta untuk berbuat demikian oleh Pegawai Keretapi atau Kakitangan Keretapi, dia melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit, dan boleh dikeluarkan dengan serta-merta dari kereta api atau premis Keretapi itu.
  1. Mencederakan atau cuba untuk mencederakan dengan niat jahat orang dan sebagainya, yang membuat perjalanan dengan kereta api
  1. Jika mana-mana orang dengan menyalahi undang-undang melemparkan atau menyebabkan terjatuh atau terketuk apa-apa kayu, batu atau bahan atau benda lain pada, ke arah, ke dalam, atau ke atas mana-mana stok kereta yang menjadi sebahagian daripada suatu tren kereta api dengan niat, atau dengan mengetahui bahawa dia berkemungkinan, akan membahayakan keselamatan mana-mana orang yang berada di dalam atau di atas, atau barangan yang dibawa di dalam, stok kereta sedemikian atau di dalam atau di atas mana-mana stok kereta lain yang menjadi sebahagian daripada kereta api yang sama, dia melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan :-
    1. Didenda tidak melebihi dua puluh lima ribu ringgit atau
    2. Dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau
    3. Kedua-duanya.
 BAB 6 : SYARAT BAGASI
  1. Penerimaan bagasi
  1. Barang akan diterima Keretapi tertakluk kepada :—
    1. Syarat-syarat yang terkandung dalam Bab ini;
    2. Syarat-syarat yang ditetapkan dalam apa juga bahan terbitan ini apabila berkenaan;
    3. Undang-undang kecil dan syarat-syarat yang terkandung dalam bahan terbitan; risalah dan pemberitahuan semasa Keretapi apabila berkenaan;
    4. Undang-undang Kecil dan syarat-syarat syarikat, badan atau orang lain sekiranya bagasi itu dibawa oleh syarikat, badan atau orang.
  2. Basikal (boleh dilipat), kereta sorong bayi, kerusi roda yang dibawa dengan mana-mana Perkhidmatan Kereta api apabila pada fikiran pihak Keretapi, kakitangan atau agennya bahawa tempat bagi tujuan demikian tidak mencukupi, atau pemuatnya dan pemunggahan mungkin menyebabkan kelewatan Perkhidmatan Keretapi. Hak ini hendaklah dilaksanakan walaupun bagasi tersebut sudah diterima pada perjalanan-perjalanan yang terdahulu atau biasanya diterima.
  3. Seseorang penumpang secara peribadi boleh membawa barang dengan tangan dan tidak menyebabkan ketidakselesaaan kepada penumpang-penumpang lain yang membuat perjalanan perkhidmatan-perkhidmatan yang dikendalikan oleh pihak Keretapi tanpa kawalan atau kenderaan barang, atau kawasan yang diperuntukkan daripada penempatan penumpang dan ditentukan untuk pengangkutan bagasi.
  1. Peruntukan berat bagasi
  1. Penumpang-penumpang (termasuk pemegang-pemeganag tiket kanak-kanak) boleh membawa bagasi peribadi bersama-sama mereka seberat dan/atau saiz sehingga 60kg apabila memegang tiket-tiket kelas pertama, 35kg apabila memegang tiket-tiket kelas kedua dan 25kg apabila memegang tiket-tiket kelas ketiga tanpa caj tambahan.Peruntukan itu tidak diperuntukkan untuk haiwan, kereta-kereta sorong dan barang-barang lain yang hanya akan diterima oleh pihak Kereta api dengan bayaran tambahan.
  1. Bagasi berlebihan
  1. Apabila bagasi seseorang penumpang lebih berat daripada peruntukan berat bagasi, berat yang berlebihan itu akan dikenakan bayaran berdasarkan nilai caj bagasi berlebihan yang berkuatkuasa ketika itu.
  1. Liabiliti penumpang
  1. Para penumpang adalah bertanggungjawab terhadap apa juga kecederaan, kerosakkan atau kehilangan harta benda Keretapi atau kakitangan yang berpunca daripada bagasi yang mereka bawa ke premis-premis atau ke dalam Perkhidmatan Keretapi, melainkan kecederaan, kerosakkan atau kehilangan ini disebabkan oleh kecuaian atau kegagalan Keretapi, kakitangannya atau Agen-agennya.
  2. Para penumpang adalah bertanggungjawab terhadap apa juga kecederaan, kerosakkan atau kehilangan yang berlaku kepada orang lain yang berpunca daripada bagasi yang dibawa ke premis-premis atau ke dalam Kereta api dan hendaklah membayar ganti rugi kepada Kereta api bagi apa juga liabiliti terhadap orang lain yang terbabit daripada kecederaan, kerosakkan atau kehilangan itu, kecuali apabila kecederaan, kerosakkan atau kehilangan ini disebabkan oleh kecuaian atau kegagalan pihak Kereta api, kakitangannya atau Agen-agennya.
 BAB 7 : SYARAT BUNGKUSAN
  1. Peruntukkan berat atau saiz bungkusan
  1. Apabila bagasi seseorang penumpang lebih berat daripada peruntukan berat bagasi, berat yang berlebihan itu akan dikenakan bayaran berdasarkan nilai caj bagasi berlebihan yang berkuatkuasa ketika itu.
BAB 8 : SYARAT BARANG-BARANG KECIL
  1. Peruntukkan berat atau saiz bungkusan
  1. Apabila bagasi seseorang penumpang lebih berat daripada peruntukan berat bagasi, berat yang berlebihan itu akan dikenakan bayaran berdasarkan nilai caj bagasi berlebihan yang berkuatkuasa ketika itu.
 BAB 9 : SYARAT PELBAGAI - PERUNTUKAN PENGUATKUASAAN KHUSUS, DAN SEBAGAINYA
  1. Penalti am bagi kemungkiran Bahagian IV, kecuali Bab 4 Akta dan perundangan subsidiary
  1. Mana-mana orang yang melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan Bahagian ini, kecuali Bab 4 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, atau mana-mana perundangan subsidiari yang dibuat di bawah
    syarat ini yang berhubungan dengan peruntukan itu melakukan suatu kesalahan dan, jika tiada penalti khas diperuntukkan dengan nyata dalam Bahagian ini, boleh, apabila disabitkan,
    1. didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau
    2. dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau
    3. kedua-duanya.
BAB 10 : KONSESI
  1. Peruntukkan Konsesi
  1. Konsesi akan diberikan kepada penumpang berdasarkan kepada syarat-syarat:-
    1. Mempamerkan dokumen yang sah atau salinan yang telah disahkan kepada Kakitangan Keretapi atau Agen-agennya sebelum membuat sebarang pembelian tiket.
    2. Kad konsesi asli hendaklah ditunjukkan kepada Kakitangan Keretapi atau Agen-agennya sebelum membuat sebarang pembelian tiket.
    3. Konsesi tidak akan diberikan kepada penumpang yang gagal atau tidak menunjukkan dokumen atau kad konsesi sebelum melakukan pembelian tiket.
  2. Konsesi akan diberikan berdasarkan pengurangan kadar caj atau penolakkan peratus diskaun daripada tambang perjalanan sahaja.
  3. Pihak Keretapi, Kakitangan Keretapi atau Agen-agennya berhak untuk menolak daripada memberikan konsesi kepada penumpang sekiranya syarat ini tidak dipatuhi.
  1. Warga berusia
  1. Penerima konsesi ini tertakluk kepada syarat berikut:-
    1. Kad pengenalan atau pasport penumpang mesti dikemukakan semasa pembelian tiket.
    2. Layak untuk warganegara Malaysia dan luar negara.
    3. Layak untuk penumpang yang berumur 60 tahun dan ke atas.
  1. Pesara kerajaan
  1. Penerima konsesi ini tertakluk kepada syarat berikut —
    1. Kad Pesara Kerajaan Malaysia atau Kad Pesara Anggota Tentera penumpang mesti dikemukakan semasa pembelian tiket.
    2. Pesara lelaki layak mendapat konsesi termasuk dua(2) orang isteri.
    3. Pesara wanita layak mendapat konsesi tetapi suaminya tidak layak.
    4. Dokumen pengesahan perkahwinan mesti dikemukakan sekiranya nama isteri tiada pada Kad Pesara Kerajaan Malaysia/Kad Pesara Anggota Tentera.
  1. Orang kelainan upaya
  1. Penerima konsesi ini tertakluk kepada syarat berikut :-
    1. Kad Kebajikan Masyarakat penumpang mesti dikemukakan semasa pembelian tiket.
    2. Seorang pengiring layak mendapat konsesi bagi mengiringi orang kurang upaya yang memerlukan bantuan kecuali pekak dan bisu.
  1. ATM/Polis & keluarga
  1. Penerima konsesi ini tertakluk kepada syarat berikut:-
    1. Kad Pengenalan Polis/Tentera penumpang mesti dikemukakan semasa pembelian tiket.
    2. Polis/Tentera lelaki layak mendapat konsesi termasuk dua(2) orang isteri dengan mengemukakan dokumen pengesahan perkahwinan.
    3. Polis/Tentera wanita layak mendapat konsesi termasuk suami dengan mengemukakan dokumen pengesahan perkahwinan.
    4. Anak Polis/Tentera layak mendapat konsesi jika berumur 13 tahun hingga 18 tahun atau sekiranya masih menuntut di institusi pengajian tinggi yang berumur tidak melebihi 21 tahun.
    5. Polis/Tentera sukarela dan polis bantuan tidak layak mendapat konsesi.
  1. Pesara KTM
  1. Penerima konsesi ini tertakluk kepada syarat berikut:-
    1. Kad Pesara KTM penumpang mesti dikemukakan semasa pembelian tiket.
    2. Pesara KTM lelaki layak mendapat konsesi termasuk dua(2) orang isteri.
    3. Pesara KTM wanita layak mendapat konsesi termasuk suami.
    4. Dokumen pengesahan perkahwinan mesti dikemukakan sekiranya nama suami/isteri tiada pada Kad Pesara KTM.
  1. Pesanan tiket Istimewa KTMB
  1. Penerima konsesi ini tertakluk kepada syarat berikut:-
    1. Borang Pesanan Tiket Istimewa penumpang mesti dikemukakan semasa pembelian tiket.
    2. Kelayakan kelas adalah tertakluk kepada Borang Pesanan Tiket Istimewa penumpang yang dikemukakan semasa pembelian tiket.
    3. Tiket dikeluarkan seperti nama penumpang pada Borang Pesanan Tiket Istimewa yang dikemukakan semasa pembelian tiket.
    4. Anak pekerja layak mendapat konsesi jika berumur 13 tahun hingga 23 tahun.
  1. KTM i-Card
  1. Student:-
    1. Penerima konsesi ini tertakluk kepada syarat berikut:-
      • KTMB I-Card Student penumpang mesti dikemukakan semasa pembelian tiket.
      • Tarikh perjalanan tidak melebihi 30 hari dari tarikh pembelian tiket.
      • Pembelian tiket balik boleh dibuat sehingga 60 hari awal jika tempahan tiket pergi-balik dilakukan serentak.

Hits : 23847